TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyangkal dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu menggunakan wang awam untuk melangsaikan hutang ceti haram atau ah long anggotanya.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, sebaliknya bantuan berbentuk pembiayaan pendahuluan itu ditampung tabung kebajikan pasukan itu sendiri.
"Tabung ini bukan merupakan dana awam dan tidak melibatkan sumbangan daripada kerajaan. Tabung ini ditubuhkan khusus untuk menyelesaikan masalahkebajikan serta memberi bantuan kepada warga TLDM yang memerlukannya.
"Tabung ini telah digunakan untuk mendahulukan bayaran bagi menyelesaikan hutang warga TLDM dengan bantuan pihak ketiga pada kadar yang jauh lebih rendah berbanding sekiranya bantuan tidak diberikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden CAP, S. M. Mohamed Idris yang terkejut dengan satu laporan berita akhbar yang mendedahkan TLDM berjaya menyelesaikan sebanyak RM139,000 hutang ceti haram atau ah long yang melibatkan 102 anggotanya.
Menurutnya, CAP berpandangan pihak TLDM tidak sepatutnya menggunakan wang awam untuk digunakan bagi menyelesaikan hutang ah long yang diambil oleh anggotanya kerana ini akan memberikan satu contoh yang tidak baik.
Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan seramai 102 warga TLDM didapati berhutang dengan pihak ah long dengan nilai RM370,000 dan hasil rundingan dengan pihak terbabit membolehkan jumlah itu dikurangkan kepada RM139,000.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz menjelaskan, warga yang terlibat dalam permasalahan hutang tersebut turut tertakluk kepada arahan pemotongan gaji setiap bulan dalam jangka masa yang singkat agar tidak membebankan anggota tersebut membayar balik kepada tabung kebajikan itu.
Tegas beliau, tindakan S. M. Mohamed tersalah tafsir laporan akhbar berkenaan dengan menyelar TLDM tanpa usul periksa dan bersifat spekulatif boleh menimbulkan perspektif buruk masyarakat terhadap perkhidmatan pasukan berkenaan.
Kata beliau, langkah tersebut yang diambil TLDM dalam menangani masalah kewangan anggota ketumbukan itu sebaliknya perlu disokong CAP.
"Jika dilihat dari sudut positif, pendekatan yang diambil TLDM ini bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah kewangan anggota malah melepaskan warga yang terlibat menjadi mangsa penindasan Ah Long. Secara tidak langsung penyelesaian ini turut akan meningkatkan moral dan prestasi kerja mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan