Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan ke atas buku cetakan kedua Amanat Haji Hadi yang dilancarkan semula baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, terserah kepada KDN sama ada perlu melihat, menilai atau mengambil tindakan sekiranya buku tersebut mengandungi unsur hasutan.
"Jika beliau (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) zahirkan atau keluarkan buku, risalah dan sebagainya, terserah kepada KDN untuk lihat, nilai dan ambil tindakan sekiranya makalah (buku) itu menghasut di bawah Akta Hasutan 1948 khasnya Seksyen 3 atau 4.
"Itu terserah kepada Peguam Negara untuk tentukan lunas perundangan," katanya kepada pemberita selepas meninjau perusahaan kraf ukiran kayu di Besut dan ke Studio Tunjang Bakawali di Kampung Raja dekat sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Abdul Hadi melancarkan semula buku Amanat Haji Hadi walaupun sebelum itu amanat yang dikeluarkannya 30 tahun lalu dikecam hebat pelbagai pihak kerana didakwa membawa perpecahan kalangan umat Islam.
Abdul Hadi melancarkan buku Amanat Haji Hadi untuk cetakan kali kedua selepas selesai menyampaikan kuliah mingguannya di Masjid Rusila, di Marang pada 11 Januari lalu.
Buku setebal 74 muka surat itu bertajuk Amanat Haji Hadi, Antara Fitnah dan Fakta selain tajuk kecil di bawahnya yang menyebut Penghuraian dan Penjelasan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang disusun oleh Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Dalam pada itu, Rais berharap agar seluruh umat Islam di negara ini dapat menilai sendiri tentang kebenaran amanat tersebut yang menyebabkan berlaku perpecahan umat Islam berdasarkan pelbagai pandangan serta pendedahan mengenainya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan