Rabu, 23 Januari 2013

Seorang tebusan Malaysia di Algeria yang hilang disahkan terbunuh



 
KENYATAAN AKHBAR OLEH MENTERI LUAR NEGERI:
INSIDEN TEBUSAN RAKYAT MALAYSIA DI REPUBLIK ALGERIA

Kedutaan Besar Malaysia di Algiers telah mengesahkan bahawa salah seorang daripada dua orang rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang telah terbunuh semasa kejadian tebusan di In Amenas. Menurut laporan, kebanyakan tebusan asing yang terbunuh semasa kejadian tersebut telah dibawa ke Algiers.

Kementerian Luar Negeri telah memaklumkan kepada keluarga mendiang Encik Chong Chung Ngen tentang berita tragis ini. Sehubungan ini, Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang. Ketika ini, Kedutaan sedang bekerjasama rapat dengan Syarikat JGC dalam menguruskan proses membawa pulang mayat mendiang ke Malaysia.

Kerajaan Malaysia amat prihatin terhadap nasib seorang lagi rakyat Malaysia, Encik Tan Ping Wee yang masih belum diketahui. Tambahan pula, kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Algeria tidak menyatakan butiran operasi menyelamat serta senarai lengkap tebusan yang hilang.

Kementerian Luar Negeri telah menghantar seorang diplomat kanan untuk membantu Kedutaan Besar Malaysia di Algiers bagi mempercepatkan usaha mencari rakyat Malaysia yang masih hilang. Ini bagi memastikan koordinasi yang diselaraskan dengan pihak berkuasa Algeria dapat berjalan dengan lancar. Pada masa yang sama, Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia telah pun membuat jalinan perhubungan dengan negara-negara dimana rakyat mereka terlibat dalam kejadian tersebut untuk mendapatkan maklumat terkini dan berkongsi maklumat risikan.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga rakyat Malaysia yang disahkan selamat kini berada di Algiers. Persediaan telah diatur oleh pejabat Kedutaan Malaysia untuk Encik Ravi Kappusamy dan Encik Lau Seek Chiang dibawa pulang ke Malaysia. Sementara itu, Encik Patrick Purait Awang, secara sukarela berada di Algiers untuk sementara waktu bagi membantu Kedutaan Malaysia dalam mengenalpasti rakannya itu.


Menteri Luar Negeri
Putrajaya

23 Januari 2013

Tiada ulasan: