Allah hanya untuk Islam - Pas
KUALA LUMPUR 13 Jan. - Setelah didesak pelbagai pihak termasuk daripada mufti-mufti pelbagai negeri, Pas akhirnya akur menyatakan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan oleh agama lain.
Mesyuarat Majlis Syura Ulama yang diadakan malam ini memutuskan kalimah Allah itu adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah, oleh itu tidak boleh diterjemahkan kepada mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah itu.
KUALA LUMPUR 13 Jan. - Setelah didesak pelbagai pihak termasuk daripada mufti-mufti pelbagai negeri, Pas akhirnya akur menyatakan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan oleh agama lain.
Mesyuarat Majlis Syura Ulama yang diadakan malam ini memutuskan kalimah Allah itu adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah, oleh itu tidak boleh diterjemahkan kepada mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah itu.
Selain itu, majlis memutuskan, mana-mana kalimah asing tidak boleh diterjemah kepada kalimah Allah.
Sehubungan itu, terjemahan kalimah God atau Lord daripada mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah adalah tidak dibolehkan dan hendaklah dicegah.
Keputusan tersebut dikeluarkan dalam kenyataan bertulis yang ditandatangani bersama Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr. Haron Din.
"Menterjemahkan kalimah God atau Lord daripada mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana salah dari segi makna dan penggunaan serta tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan nyata. Oleh kerana itu, hendaklah dicegah," kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan ini bagi memperjelaskan maksud kenyataan Nik Aziz, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta seluruh kepimpinan Pas.
Mesyuarat itu juga bersetuju memutuskan Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam iaitu Allah yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak boleh diperanakkan.
Mesyuarat itu turut memperincikan kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam dan siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.
Berhubung isu Amanat Haji Hadi, mesyuarat tersebut memutuskan untuk mendesak kerajaan bagi membenarkan Presiden Pas menjelaskan isu itu sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.
Bukan Islam guna kalimah Allah, mengarut - Nik Aziz
KOTA BHARU 14 Jan. - Biarpun sebelum ini Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) bersetuju dan senada dengan pemimpin DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah, hari ini beliau berubah fikiran dan menyifatkan perkara tersebut sebagai mengarut.
Beliau berkata, ini kerana kalimah Allah hanya merujuk kepada tuhan yang satu dan kalimah tersebut tidak tepat sama sekali untuk digunakan oleh agama yang mempunyai tuhan lebih daripada satu.
Katanya, justeru itu, bagi mana-mana pihak yang mahu menggunakan kalimah tersebut harus yakin bahawa Allah hanya satu.
"Bila agama lain yang tiada tuhan yang satu tiba-tiba hendak guna Allah tidak betul, kerana apa letak Allah. Allah diguna oleh Allah sendiri sebagai tuhan yang satu, yang maha kuasa.
"Kalau ada agama lain yang tuhan yang tidak satu, ada tiga atau lebih (mahu menggunakan kalimah Allah), itu mengarut.
"Iblis waktu jumpa Nabi Adam dalam syurga, dia bersumpah dengan nama Allah bahawa aku datang sebagai penasihat. Dia hendak guna nama Allah boleh tetapi salahlah," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini selepas pulang dari menghadiri Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas di Kuala Lumpur malam tadi.
Selasa lalu, beliau bersetuju orang bukan Islam termasuk pemimpin mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah walaupun perkataan itu merupakan hak eksklusif bagi orang Islam kerana ia sebagai langkah memberi ruang kepada orang bukan Islam mengenali ajaran agama Islam sebenarnya.
Ia juga selari dengan ketetapan yang dibuat oleh majlis pimpinan pakatan pembangkang yang disertai Pas, DAP dan PKR yang memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut semua agama dengan syarat tidak disalahgunakan.
Kenyataan Nik Abdul Aziz dan ketetapan pakatan pembangkang itu ditolak pelbagai pihak termasuk mufti-mufti negeri dan hari ini, Pas akur menyatakan Allah adalah khusus untuk agama Islam dan tidak boleh digunakan oleh agama lain.
Ketika ditanya kenapa kenyataan beliau sebelum ini membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata:
"Dia (bukan Islam) nak kata boleh, kami nak larang macam mana, dia nak sebut boleh tetapi tak betul. Orang tidak Islam tentunya tuhan tidak satu, ada trinity - tiga, tiba-tiba nak guna nama Allah juga, erti penggunaannya salah, maka tak betul."
Pada masa yang sama, beliau tidak mahu mengulas mengenai pendirian pemimpin Pas lain yang menyokong gesaan pemimpin pembangkang daripada DAP dan PKR supaya bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah.
Kalimah Allah: Hadi salahkan media
KUALA TERENGGANU 15 Jan. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) turut akur dengan pendirian terbaharu Mesyuarat Majlis Syura Ulama parti itu kelmarin dan senada dengan kenyataan bertulis Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang ditandatangani bersama timbalannya, Datuk Dr. Haron Din.
Abdul Hadi gagal dihubungi sebaliknya memberikan respons itu menerusi Pembantu Khasnya, Zaihan Daud ketika dihubungi di sini hari ini, sambil mengesahkan Presiden Pas itu ketika ini kurang sihat.
Zaihan yang enggan mengulas lanjut mengenainya berkata, isu berkenaan disifatkan telah selesai dan menegaskan pendirian Abdul Hadi adalah sama dengan kenyataan Nik Aziz bahawa kalimah Allah hanya khusus untuk agama Islam.
Dalam pada itu, Setiausaha Politik kepada Abdul Hadi, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pendirian Presiden Pas mengenai kalimah Allah diperjelaskan dalam kenyataan bertulis Abdul Hadi semalam iaitu sehari selepas kenyataan Majlis Syura Ulama.
Beliau bagaimanapun mendakwa media arus perdana hanya memetik sebahagian daripada kandungan kenyataan tersebut dan bukan kesemua isi kandungan itu.
Mat Sabu juga buat 'pusingan U'
KOTA BHARU 15 Jan. - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu (gambar) yang sebelum ini menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam akhirnya mengubah pendiriannya dengan bersetuju keputusan Majlis Syura Ulama Pas bahawa kalimah itu adalah khusus untuk agama Islam.
Mohamad berkata, beliau senada dengan keputusan Majlis Ulama Pas iaitu kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah tersebut.
Katanya, walaupun dalam Majlis Ulama Pas ada menyebut orang bukan Islam bebas mengunakan nama Allah tetapi terjemahan harus berhati-hati sebab Allah adalah tersendiri.
"Pendirian saya macam pendirian Majlis Syura. Soal pengunaan Allah dalam Bible selepas ini terserah kepada kerajaan sebab mereka yang memerintah, kita hanya mampu memberi pandangan," katanya.
Namun ketika ditanya kenapa sebelum ini beliau menyokong orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, beliau berkata, itu hanya pandangan peribadi beliau.
Beliau yang cuba mengalihkan perhatian dengan bertanya wartawan mengenai isu lain berkata demikian semasa ditemui selepas merasmikan Markas Pilihan Raya Muslimat Pas Parlimen Kota Bharu di sini malam tadi.
Mohamad sebelum ini bersetuju orang bukan Islam termasuk pemimpin mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah walaupun perkataan itu merupakan hak eksklusif bagi orang Islam.
Keputusan itu selari dengan ketetapan yang dibuat oleh majlis pimpinan pakatan pembangkang yang disertai Pas, DAP dan PKR yang memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut semua agama dengan syarat tidak disalahgunakan.
Ketetapan pakatan pembangkang itu bagaimanapun ditolak pelbagai pihak termasuk Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris dan mufti-mufti negeri.
Semalam Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat juga membuat 'pusingan U' dalam isu kalimah Allah selepas Majlis Syura Ulama yang dipengerusikannya membuat keputusan tidak membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah suci itu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan