Ahad, 13 Januari 2013

Pesyarah minta pembangkang jangan guna perkataan 'rakyat'


JENAMA 'rakyat' yang disalahgunakan pembangkang selama ini tidak akan memberi sebarang manfaat terhadap kehidupan rakyat negara ini, sebaliknya sebuah strategi politik bermatlamat mengaburi mata pengundi semata-mata.

Pensyarah Geopolitik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, oleh itu, 'perjuangan rakyat' versi pakatan pembangkang seharusnya dipersoal dan dipertikai semua pihak pada setiap masa.

"Hakikatnya, majoriti rakyat Malaysia sudah jemu dengan budaya pembangkang ini. Apa yang dianjurkan pembangkang kini bukan gambaran rakyat bangkit tetapi bagi membangkitkan sokongan terhadap pakatan itu yang sudah luntur, sepi dan dilupakan.

"Semua ini strategi mereka untuk mendapatkan lonjakan politik maklumlah pilihan raya umum sudah dekat dan sokongan pada mereka berkurangan. Slogan kebangkitan rakyat amat tidak masuk akal dan pembangkang perlu malu kerana memanipulasi perkataan 'rakyat' itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Beliau mengulas strategi pembangkang yang gemar menggambarkan perjuangan mereka dengan penggunaan perkataan seperti Pakatan Rakyat dan Himpunan Kebangkitan Rakyat meskipun perkara-perkara tersebut tidak mencerminkan pemikiran dan aspirasi sebenar rakyat.

Mengulas lanjut, Mohd. Fuad berkata, rakyat sebagai pengundi harus bijak membezakan sesuatu perjuangan itu benar demi memartabatkan kebajikan mereka atau sekadar plastik untuk mendapat lonjakan politik sama ada oleh pihak pembangkang atau parti memerintah.

"Jangan terpedaya, kita dikurniakan akal untuk berfikir demi kebaikan kita sendiri. Belajar daripada kesilapan lalu dan dongak ke hadapan menyokong mereka yang telah jelas dan diakui mengangkat nasib kita sebagai rakyat," ujarnya.

Tiada ulasan: