Rabu, 16 Januari 2013

Pembangkang umpama `ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’

SEPULUH deklarasi yang  dikeluarkan pakatan pembangkang sempena  perhimpunan di Stadium Merdeka Sabtu lalu  mencerminkan sikap mereka seperti 'ayam  berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi'.

Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia  (KWMM), Dzulkarnain Taib berkata, perkara itu  kerana kebanyakan daripada tuduhan  penyelewengan kuasa yang didakwa dilakukan  kerajaan dalam deklarasi tersebut sebenarnya   terbukti dipraktikkan pembangkang sendiri.


"Sebagai contoh, perhimpunan itu menuntut  pilihan raya yang bersih, adil dan telus  merangkumi media yang bebas, pada KWMM,  benarkah pembangkang sendiri mengamalkan  kebebasan media?

"Media arus perdana seperti Utusan Malaysia dan  TV3 dihalang daripada membuat liputan dalam  majlis anjuran kerajaan negeri terutama di Pulau  Pinang, Kedah dan Kelantan, adakah ini bukan  seperti cakap tak serupa bikin
," katanya ketika  dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas deklarasi dikeluarkan  pembangkang dalam perhimpunan itu yang  menggariskan 10 deklarasi antara lain termasuk  juga agar prestasi, wibawa dan reputasi Felda  diselamatkan demi menjamin kedudukan ekonomi  dan pemilikan tanah warga peneroka.

Deklarasi itu turut menuntut pengiktirafan  profesionalisme, menjamin kebajikan dan  melindungi masa depan kakitangan awam  termasuk guru-guru dan anggota keselamatan.

Jelas Dzulkarnain, deklarasi tersebut dalam kata  lain menunjukkan sikap pembangkang yang gemar  memanipulasikan situasi dan mengeksploitasi  pemikiran rakyat kerana hakikatnya kesemua  tuntutan terbabit telah pun ditunaikan kerajaan.

Apa yang mereka tuntut demi rakyat hanya gimik  kononnya merekalah pihak yang baik dan  sempurna, kalau rakyat lihat betul-betul, mereka  sebenarnya yang banyak melakukan tindakan  hipokrit, rasuah, penipuan dan ketidakadilan.

“Sehubungan itu, rakyat jangan terpedaya dengan  kata-kata mereka yang sangat manis macam gula,  hakikatnya rakyat perlu berfikiran matang dan  melihat setiap tindak-tanduk mereka yang penuh  dengan kepura-puraan
,” ujarnya.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM),  Anuar Manap pula menganggap deklarasi  berkenaan tidak membawa sebarang makna  terhadap kebajikan golongan peneroka sebaliknya  menunjukkan pembangkang seolah-olah takut  kepada bayang-bayang sendiri.

Katanya, transformasi yang diusahakan oleh  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  terhadap Felda telah menyebabkan pembangkang  khuatir dengan perhatian peneroka di tanah-tanah  rancangan terhadap mereka yang kian pudar.

Jelas Anuar, sekiranya ingin menyelamatkan Felda  sekalipun, warga peneroka perlu  menyelamatkannya daripada puak-puak  pembangkang yang sentiasa menjatuhkan imej,  mencelarukan fakta dan berdemonstrasi  sehingga mengganggu gugat kepercayaan para  pelabur dan perniagaan agensi itu sendiri.

Elok cermin dahulu diri sendiri sebelum sibuk nak  mencari salah dan silap orang lain. Kami di Felda  melihat usaha yang dilakukan sekarang adalah  terbaik dan semalam pun baru diumumkan  pemberian wang saguhati kepada para peneroka  setia menghantar hasil mereka kepada Felda.

“Apakah ini bukan usaha kerajaan untuk menjaga  dan mengambil berat kebajikan warga Felda?  Inilah retorik yang cuba disebarkan oleh mereka  demi politik sempit dan kecelaruan pemikiran yang  mendominasi pakatan mereka kini
,” katanya.

Tiada ulasan: