KESILAPAN teknikal sewaktu pembentangan keputusan pemilihan parti di
Kongres ke-16 Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah mengakibatkan
keputusan yang tidak tepat dalam kedudukan Jawatankuasa Eksekutif Pusat
(CEC).Kesilapan tersebut bagaimana pun, tidak mendatangkan kesan yang
terlalu besar terhadap 20 kedudukan teratas CEC.
Pegawai Pilihanraya yang bertanggungjawab membuat kiraan akhir dan
membentangkan keputusan kepada Kongres, Pooi Weng Keong dalam sidang
media di ibu pejabat kebangsaan DAP di ibu kota; menjelaskan bahawa
kesilapan tersebut terjadi akibat daripada ralat ketika memindahkan
kiraan keputusan menggunakan program komputer Microsoft Excel.
“Akibat daripada kesilapan tersebut, bilangan undi untuk calon-calon
nombor 31 ke 38 adalah sama dengan calon-calon bernombor 61 ke 68,”
kata beliau, sambil menambah bahawa kesilapan tersebut tidak disedari
oleh pihaknya sehinggalah hari berikutnya dan lantas dilaporkan kepada
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
DAP memandang serius kesilapan kecil ini dan telah mengarahkan supaya
audit dalaman yang dipimpin oleh Dr. Ong Kian Ming, dilaksanakan segera
bagi menyiasat kesilapan tersebut. Kian Ming adalah ahli baru DAP yang
bertindak sebagai pemerhati sewaktu kongres parti berlangsung; serta
tidak mengundi mahupun mempunyai sebarang peranan dalam pengiraan undi.
Bagi memastikan ketelusan, langkah berjaga-jaga diambil dengan
melantik juruaudit luar, TCMK Associated Chartered Accountants untuk
memeriksa keputusan pilihanraya parti tersebut; dan keduanya mendapati
keputusan yang serupa.
“Kedua-dua audit mendapati bahawa calon-calon bernombor 61 ke 68
telah mendapat keputusan yang salah, dengan angka-angka yang sama dengan
calon-calon bernombor 31 ke 38,” tambah beliau lagi yang kemudiannya
mendedahkan bilangan undi tepat yang diterima oleh calon-calon terlibat.
Hasil daripada keputusan yang telah dibetulkan ini, calon nombor 63,
Wu Him Ven (Vincent) sepatutnya hanya mendapat 669 undi dan bukan 1202
undi; yang kini meletakkannya di tangga ke 26.
Delegasi beri mandat kepada pimpinan Melayu
Apa yang menarik adalah keputusan undi untuk calon nombor 65, Zairil
Khir Johari yang pada mulanya dilaporkan menerima bilangan undi yang
sama dengan calon nombor 35, Manogaran a/l Marimuthu sebanyak 305 undi
sebenarnya telah menerima 803 undi, yang secara automatik meletakkan
beliau ke tangga ke-20 dan terlantik ke dalam CEC.
Dihubungi untuk mengulas tentang keputusan mengejutkan ini, Zairil
berkata bahawa kesilapan adalah perkara yang tidak boleh dielakkan.
“Yang lebih penting, tindakan DAP memperbetulkan kesilapan ini jelas
menunjukkan bahawa hal ketelusan dan integriti amat diutamakan, walaupun
parti berdepan risiko dimanipulasi oleh pihak lain,” ujarnya.
Zairil juga menambah, “Ini juga membuktikan bahawa keputusan saya
untuk menyertai DAP berdasarkan tanggapan bahawa DAP adalah parti yang
berintegriti dan mengamalkan ketelusan adalah keputusan yang betul.”
Keputusan yang telah diaudit ini memperlihatkan bahawa delegasi
Kongres ke-16 DAP adalah sebenarnya tidak anti-Melayu seperti yang
difitnahkan oleh media arus perdana milik UMNO dan Barisan Nasional
apabila pada mulanya dilaporkan tidak ada calon Melayu yang terpilih ke
CEC.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata CEC telah bermesyuarat
pada malam ini untuk memperbetulkan kesilapan keputusan pemilihan parti
tersebut dengan saudara Zairil sebagai ahli yang dipilih melalui undi
delegasi; manakala saudara Vincent menjadi ahli lantikan.
“Selain
hakikat bahawa kini saudara Zairil secara rasminya adalah ahli CEC
melalui pemilihan, komposisi CEC tidaklah berubah,” ujar Tony.
Bagi Vincent, beliau menerima keputusan ini dengan lapang dada.
“ Pada masa yang sama, saya mahu tekankan bahawa keputusan muktamad
ini tidak akan menghalang saya daripada menjalankan idealisme dan
prinsip-prinsip parti,” kata beliau dalam sebuah kenyataan media.
“Saya akan terus berkhidmat untuk parti sebaik mungkin dan berterima
kasih kepada pihak CEC yang telah melantik saya sebagai Pembantu
Setiausaha Organisasi. Saya percaya kesilapan teknikal ini tidaklah
disengajakan,” kata beliau. - Roketkini.com



Tiada ulasan:
Catat Ulasan