RAKYAT bukan berketurunan Cina di negara ini berdepan risiko
dipinggirkan sekiranya pakatan pembangkang yang didominasi DAP diberi
peluang memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusan
pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat DAP Disember lalu menunjukkan parti
itu tidak memberi pertimbangan kepada kaum-kaum lain.
Sebaliknya, menurut beliau, hampir semua anggota CEC DAP terdiri daripada kaum Cina.
"DAP dikatakan parti berbilang kaum, ambil kira kepentingan Melayu,
Cina dan India. Mereka kata akan bertimbang rasa dan tidak terlalu
bersifat perkauman.
"Namun hakikatnya, bila mereka berkuasa maka kemungkinan ini berlaku
akan terjadi," katanya ketika menjawab soalan seorang peserta pada
program Bicara Minda: Masa Depan Melayu dan Islam Selepas Pilihan Raya
Umum Ke-13 di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali;
bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan penulis politik, Tan
Sri Abdullah Ahmad sebagai moderator program berkenaan.
Keputusan pemilihan CEC DAP yang lebih cenderung kepada kaum Cina itu
dipersoalkan dan dibantah oleh ahli-ahli parti dari kaum lain kerana
disifatkan sebagai tidak telus.
Berhubung masa depan orang Melayu sekiranya Barisan Nasional (BN)
tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Dr. Mahathir memberitahu, nasib
mereka tidak akan menjadi lebih baik berbanding sekarang.
Jelas beliau, dalam senario itu, walaupun segelintir Ahli Parlimen
pembangkang berketurunan Melayu, mereka dikhuatiri tidak akan memberi
pertimbangan kepada keperluan dan kepentingan bangsa sendiri.
"Kita dapat lihat di Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, Menteri
Besar pada masa itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pas
terpaksa ikut telunjuk orang lain.
"Dia tahu nasibnya bergantung kepada undi. Kalau orang tak sokong dia
takut, kerana itu dia ikut apa sahaja yang ditunjuk kepadanya,"
ujarnya.
Kata Dr. Mahathir, situasi sama akan berlaku sekiranya orang Melayu masih lagi tidak sedar dan terlalu mengikut perasaan.
Dalam sidang akhbar selepas program itu, ketika ditanya tentang
siasatan Suruhanjaya Diraja pendatang asing tanpa izin di Sabah
berkaitan pemberian status kerakyatan kepada warga asing yang didakwa
berlaku di bawah pentadbirannya dahulu, Dr. Mahathir menjelaskan,
mereka berhak menjadi warganegara Malaysia setelah memenuhi
syarat-syarat yang ditetapkan oleh undang-undang.
Katanya, sebagai Perdana Menteri pada masa itu, beliau bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan