PADA 12 Disember lalu, penyokong kerajaan, Ramlan Ali (BN-Jabi) menegaskan beliau tidak akan memaafkan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang yang turut mengkucar-kacirkan hubungan keluarganya sejak sekian lama disebabkan amanat tersebut.
Dalam nada beremosi, beliau berkata, Amanat Haji Hadi yang dicetuskan pada 1981 itu masih memberikan kesan berpanjangan baginya dan juga masyarakat di kawasannya sehingga mereka berpecah-belah.
Ekoran puluhan ribu pengikut Pas masih percaya UMNO kafir.
Lebih parah, puluhan ribu ahli dan pengikut tegar Pas dikesan masih berpegang teguh kepada amanat Presiden, Abdul Hadi sehingga mereka kekal sehingga kini menganggap orang UMNO adalah kafir.
Perkara itu didedahkan sendiri aktivis yang juga bekas ahli seumur hidup Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N al-Afghani berikutan masih ramai pengikut tegar parti itu percaya, pemimpin serta ahli UMNO jauh lebih hina daripada orang-orang bukan Islam.
Sehubungan itu, Zainon mendesak Abdul Hadi yang kini memegang tampuk kepemimpinan Pas menarik balik amanat berkenaan demi kepentingan umat Islam di negara ini kerana selagi beliau tidak berbuat demikian, orang Melayu akan kekal berpecah sampai bila-bila.
Beberapa ulama pula seterusnya menegaskan bahawa Abdul Hadi wajib segera menarik balik amanatnya itu.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, tuduhan itu merupakan bidaah besar serta bercanggah dengan amalan ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan majoriti umat Islam negara ini.
Dalam pada itu, akibat terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi , seorang bekas pengikut Pas mendedahkan bagaimana dia sanggup melakukan akad nikah dua kali bagi memastikan perkahwinannya sah.
Menurut Abdul Rahman Jusoh, 57, keadaan itu berlaku apabila dia yakin perkahwinannya tidak sah apabila urusan itu dikendalikan oleh jurunikah lantikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang digambarkan kafir oleh kepimpinan Pas.
Isu berkenaan bertambah panas apabila perkara melibatkan kematian didedahkan.
Bayangkan jika saudara terdekat yang sedang uzur enggan membenarkan anda menziarahinya malah berpesan jika meninggal kelak, jangan biarkan anda turut bersama menyembahyangkan jenazah.
Seolah-olah tiba-tiba anda dalam kelompok kafir yang perlu dimusuhi, tidak harus didekati sedangkan anda tidak pernah berseteru, cuma tidak bersama dalam kelompok parti yang dilaung-laungkan sebagai parti Islam dan parti Allah.
Demikian hinanya anda yang hanya melihatkan dari jauh kenduri kendara jiran apabila tidak lagi diundang kerana parti yang berbeza dan mereka memaling muka daripada menerima jemputan ke majlis yang anda adakan.
Itulah sebahagian daripada sekian banyak rentetan peristiwa yang pernah dilalui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Ramlan Ali kesan daripada pegangan terhadap Amanat Haji Hadi yang membawa perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Sementara itu, Abdul Manaf Idris, 65, dari Kampung Tanah Merah di sini merupakan salah seorang yang pernah mempengaruhi orang ramai untuk menyakini Amanat Haji Hadi bagi memastikan penyokong Pas terus setia dan agar orang UMNO meninggalkan parti mereka.
Lebih dikenali sebagai Pak Da, beliau yang akhirnya merasa berdosa dengan segala onar yang tercetus dalam masyarakat bertitik-tolak dengan kefahaman mengenai amanat itu, berusaha memohon maaf atas keterlanjurannya dan akan bersama membantu menyedarkan masyarakat sehingga akhir hayatnya.
Seterusnya, bekas penggerak Jawatankuasa Keselamatan Pas Kelantan, Saidi Hussin mendedahkan, Amanat Haji Hadi telah menyebabkan ramai umat Islam dalam kalangan penyokong parti itu di jajahan ini memulaukan imam masjid yang dilabelkan sebagai pro-UMNO.
Keadaan itu berlaku, dakwa beliau, disebabkan penyokong tegar Pas sehingga ke hari ini masih berpegang kepada fahaman bahawa mereka yang menyokong UMNO tidak boleh dijadikan imam dan daging sembelihan mereka dianggap 'bangkai' yang haram untuk dimakan.
Selepas itu, seorang bekas anggota Pemuda Tahan Lasak Pas mendedahkan bagaimana beliau terpaksa membuang daging korban sembelihan orang UMNO yang dianggap haram semata-mata kerana berpegang dengan amanat Abdul Hadi.
Che Ngah Mat Hassan, 80, yang juga bekas Ketua Jawatankuasa Keselamatan Peti Undi Kampung Lembah turut mendedahkan bagaimana beliau tidak menghadiri majlis kenduri kesyukuran, sambutan Maulidur Rasul dan kenduri perkahwinan orang UMNO semata-mata kerana taksub dengan Amanat Haji Hadi.
Sementara itu, Imam Masjid Darau, Mat Yah Abdullah Wahab, 68, yang berwajah tenang dan nada tutur katanya bersahaja merupakan saksi paling jelas terhadap kesan Amanat Haji Hadi sejak lebih tiga dekad lalu.
Beliau memikul tanggungjawab yang diamanahkan itu dalam situasi yang cukup sukar apabila sebahagian daripada penduduk di kawasannya antara yang paling taksub bermain politik tanpa dapat membezakan antara parti dan agama.
Selepas itu, Zakaria Daud, 74, dari Kampung Awek Darau mungkin salah seorang yang benar-benar kecewa dengan Pas setelah mensia-siakan sekian banyak masa dan tenaga sepanjang hidupnya untuk membantu parti.
Beliau yang menjadi kader parti sejak usia belasan tahun berusaha mewujudkan dua buah premis yang digelarnya 'masjid' di kampung dengan memerah keringat membinanya di samping berusaha mengumpulkan derma untuk menyiapkannya agar penyokong Pas boleh solat berasingan termasuk solat Jumaat.
Zainon Ismail terus menegaskan beliau tidak akan mendiamkan diri dalam membongkar kepincangan politik Pas biar pun diugut dan kehilangan kawan.
Sebaliknya, beliau yang menghasilkan buku Kafirkah Aku? berikrar akan terus berjuang memastikan Abdul Hadi menarik balik Amanat Haji Hadi yang menggambarkan UMNO kafir pada tahun 1981.
Beliau menegaskan, Abdul Hadi perlu sedar, kesan perpecahan akibat amanat itu cukup besar seperti terjadinya Peristiwa Memali, solat dua imam, bercerai-berai dan macam-macam lagi.
Zainon juga membidas, sikap ego Presiden Pas itu dan ulama Pas kerana enggan mengakui kesilapan diri termasuklah dalam isu amanat tersebut.
Abdul Hadi dalam pada itu diyakini akan tetap menyalahkan orang lain dan tidak sesekali menarik balik amanatnya yang menjadi pencetus kepada perpecahan umat Islam di negara ini.
Malah, bekas Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Besut, Jusoh Idris percaya amanat itu akan terus digunakan sebagai 'azimat' untuk mengikat ahli dan pengikut Pas supaya setia kepada parti.
Lebih mengejutkan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pernah mengeluarkan surat rasmi menegur Amanat Haji Hadi dan membidas fatwa-fatwa dalam amanat itu yang menuduh ahli UMNO sebagai kafir.
Pengerusi Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan (Gerakan Tukar), Kamarudin Kasim berkata, teguran tersebut dibuat selepas mesyuarat khas oleh MAIK yang turut dihadiri Mufti Kelantan ketika itu selepas berlaku perpecahan dalam kalangan orang Melayu berikutan amanat tersebut.
Akhir sekali, ketaksuban kepada Amanat Haji Hadi menyebabkan sebahagian ahli Pas mengelak daripada mengambil lauk daging sewaktu menghadiri kenduri ahli dan penyokong UMNO kerana percaya sembelihan mereka tidak sah dan haram dimakan.
Perkara itu didedahkan bekas ahli Pas dari Kampung Bukit Payong Hulu Besut, Mat Ali Mat Resat, 62, yang turut menjelaskan, mereka juga seboleh-bolehnya cuba mengelak menghadiri kenduri dan menziarahi jenazah ahli dan penyokong UMNO dan jika terpaksa melakukannya hanya kerana mahu mengambil hati.
Gandasari - lebih banyak pendedahan for sure.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan